Teknologi
maklumat merupakan agenda baharu yang mendapat tempat dalam sanubari segenap
lapisan masyarakat. Kerajaan telah mengambil langkah yang serius untuk
menerapkan budaya teknologi maklumat kepada masyarakat. Berbagai-bagai kempen
dijalankan untuk menjelaskan kepada masyarakat tentang pentingnya teknologi
maklumat. Sejumlah peruntukan yang besar telah dilaburkan untuk tujuan itu.
Berdasarkan usaha dan iltizam kerajaan yang tinggi itu, nyatalah bahawa bidang
teknologi maklumat mempunyai manfaat yang sangat besar kepada masyarakat dan
negara ini.
Teknologi
maklumat mampu menjadikan masyarakat negara ini sebagai sebuah masyarakat yang
sentiasa peka dengan perkembangan dan pergolakan dunia. Melalui kemajuan dalam
bidang penyebaran maklumat, masyarakat negara ini tidak ketinggalan untuk
mengikuti perkembangan. Maklumat yang disalurkan amat pantas. Hanya dengan
memiliki sebuah komputer peribadi yang disambung dengan perkhidmatan internet,
masyarakat boleh mendapatkan maklumat dari seluruh dunia. Mereka hanya perlu
menggerakkan tetikus untuk mendapatkan maklumat terkini dalam sesuatu bidang.
Contohnya masyarakat Malaysia boleh mengikuti pergolakan politik di Timur Tengah
melalui skrin komputer mereka. Oleh itu penguasaan teknologi maklumat mampu
menjadi masyarakat Malaysia sebagai masyarakat berinformasi.
Selain
itu, teknologi maklumat dapat meningkatkan mutu pendidikan negara kita.
Kerajaan telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan sekolah-sekolah bestari
yang menjadikan teknologi maklumat sebagai teras pendidikan. Apabila terlaksana
kelak, sumber rujukan yang utama bagi pelajar bukan lagi guru mereka. Guru akan
dianggap sebagai pemudah cara. Segala proses pembelajaran dan pengajaran akan
dikendalikan oleh komputer. Sumber rujukan pula adalah dari sumber-sumber
multimedia. Pelajar perlu memiliki kemahiran untuk mengendalikan komputer dan
mereka sendiri yang akan meneroka segenap bidang ilmu yang dipelajari oleh
mereka. Malah seseorang pelajar boleh melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat
tertinggi menggunakan media komputer. Contohnya penubuhan Universiti Tun Abdul
Razak merupakan satu langkah ke arah penerokaan ilmu di ruang siber tanpa
menghadiri kuliah secara lumrah. Dengan penubuhan universiti maya ini, mutu
pendidikan negara meningkat setahap lagi ke arah kemajuan.
Teknologi
maklumat juga mampu meletakkan negara kita setanding dengan negara-negara
maju. Dalam zaman ini kemajuan sesebuah negara diukur dengan pencapaian dalam
bidang teknologi. Oleh yang demikian sebagai sebuah negara yang ingin mencapai
status negara maju, Malaysia mestilah menitikberatkan bidang ini dan menjadikan
kita duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju. Oleh
sebab itulah negara kita mengeluarkan belanja yang banyak untuk meningkatkan
segenap aspek yang berkaitan dengan teknologi maklumat. Contohnya negara kita
telah melancarkan satelit telekomunikasi kita sendiri yang dikenali dengan
nama MEASAT 1 dan MEASAT 11. Baru-baru ini pula saintis Malaysia berjaya
menghasilkan satelit ringan yang dikenali sebagai Tiongsat-1. Dengan
pelancaran satelit-satelit ini, kita mampu menempatkan diri setanding dengan
negara-negara maju dalam bidang telekomunikasi. Jadi, jelaslah teknologi
maklumat menjadikan negara kita setanding dengan negara maju.
Penekanan
dalam kemajuan teknologi maklumat akan menggalakkan pemindahan teknologi secara
langsung dan tidak langsung. Pembinaan Koridor Raya Multimedia telah membuka
peluang pelaburan kepada syarikat-syarikat antarabangsa untuk beroperasi di
sini. Dengan ini mereka akan memindahkan teknologi canggih ini untuk dipelajari
oleh rakyat negara kita. Kerajaan tidak perlu membelanjakan wang yang banyak
untuk menghantar pegawai untuk berkursus di luar negara. Selain itu, dengan
pemindahan teknologi ke negara kita lebih banyak pihak yang mendapat manfaat.
Selain kerajaan mendapat hasil cukai, peluang pekerjaan telah disediakan untuk
dimanfaatkan oleh penduduk tempatan. Oleh yang demikian, kemajuan teknologi
dapat menggalakkan pemindahan teknologi ke negara kita.
Teknologi
maklumat juga dapat meningkatkan ekonomi negara. Perniagaan hari ini dijalankan
melalui kaedah e-dagang atau perdagangan elektronik. Melalui kaedah ini peniaga
tidak lagi perlu menyediakan ruang niaga yang besar dan memerlukan kos yang
tinggi. Hal ini kerana pasaran dapat diperluas melalui internet. Pembeli dari
dalam dan luar negara dapat melihat produk dengan hanya menekan tetikus, di
samping membuat pesanan. Perdagangan cara ini ternyata lebih berkesan kerana
menjimatkan masa dan tenaga pembeli. Peniaga pula hanya perlu meneliti skrin
komputer untuk menjual barangan mereka. Contohnya Amazon.com merupakan sebuah
syarikat penjualan bahan bacaan yang sangat terkenal dan telah membuktikan
kejayaan dalam e-dagang ini. Natijahnya, teknologi maklumat dapat meningkatkan
ekonomi negara.
Kesimpulannya,
kita tidak harus ketinggalan untuk menguasai kemahiran teknologi maklumat
kerana bidang ini akan terus berkembang dari semasa ke semasa. Sistem hidup
manusia masa depan akan lebih bergantung kepada kemajuan dalam bidang ini.
Malah pada masa ini pun, pergantungan manusia terhadap teknologi maklumat
sememangnya tidak dapat dinafikan. Oleh itu, untuk memastikan wawasan negara
untuk menjadi sebuah negara maju boleh direalisasikan dengan penguasaan dalam
bidang teknologi maklumat. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menyokong usaha
ini di samping menyediakan diri untuk mempelajari pengetahuan baru berkaitan
teknologi maklumat agar kita tidak dianggap seperti katak di bawah tempurung.
No comments:
Post a Comment